Sekolah Menengah Persekutuan Agama Labu merupakan salah sebuah Sekolah Berasrama
Penuh Aliran Sains Agama. SMAPL
ditubuhkan pada Januari 1982 atas cadangan Pengarah Pendidikan Islam di Kementerian Pendidikan Malaysia pada waktu itu, Tan Sri Datuk
Paduka Dr Abdul Hamid Othman (Allahyarham). Idea ini muncul kerana
kesedaran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan pada ketika itu untuk membina sekolah agama
Islam di Kuala Lumpur. Selepas cadangan itu diterima oleh kerajaan, sekolah itu
diberikan nama sebagai Menengah Sekolah Agama Wilayah Persekutuan (SMAWP). Sejarah penubuhan sekolah ini agak menarik dan
unik kerana semasa sekolah ini ditubuhkan ia tidak mempunyai bangunan
sendiri. Oleh itu pelajar-pelajar
sulungnya iaitu Tingkatan 1, 4 dan 6 yang seramai lebih kurang 500 orang telah
ditumpangkan di Kolej Islam Kelang, Selangor hingga akhir tahun 1982. Ketika
itu tenaga pengajarnya hanyalah seramai 40 orang di bawah pimpinan pengetua
pertama, Tuan Haji Muhammad Hj Shafie. Walaupun dalam keadaan menumpang, namun
sekolah ini berjaya membentuk sekolah berpendidikan ke arah Islam sebagaimana
yang dihasratkan oleh Kementerian Pendidikan dan rakyat Malaysia.
Pada awal Januari 1983, SMAWP telah berpindah ke
Petaling Jaya dan telah ditempatkan di bangunan sementara yang yang terletak
dalam kawasan Universiti Islam Antarabangsa.
Pada tahun 1985 sekolah ini telah menerima pengetua baru iaitu Tuan Haji
Mohd Yusof Abu Bakar. Beliau berkhidmat hingga akhir tahun 1985. Pada tahun ini juga SMAWP telah menempa nama
sebagai Johan Bahas Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri.
Di bawah khidmat pengetua ketiga, Tuan Haji Mohd
Yusof Bin Haji Ahmad (Dato’), prestasi sekolah terus dipertingkatkan.
Kementerian Pendidikan telah berusaha mendirikan bangunan di Wilayah
Persekutuan, namun tidak berhasil.
Sebagai alternatif, Kementerian
Pendidikan telah memindahkan SMAWP ke Labu, Seremban pada April 1987. Sekolah ini diberi nama baru sebagai Sekolah
Menengah Agama Persekutuan (SMAP) yang kemudiannya dirasmikan oleh Paduka Seri
Yang di Pertuan Besar Negeri Sembilan Al-Marhum Tuanku Ja’afar Ibni Al Marhum
Tuanku Abdul Rahman pada bulan Julai 1989. Di bawah pimpinan Allahyarham Tuan
Haji Mahmud bin Mohd Rashid yang meneraju 73 orang tenaga pengajar dan sejumlah
1000 orang pelajar mula menunjukkan kejayaan sehingga menarik minat Universiti
Islam Antarabagsa (UIA) dan Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan untuk dijadikan
sebagai sekolah anak angkat.
Seterusnya pada 16 Jun 1989 sekolah diterajui
pengetua baru iaitu Tuan Haji Abu Bakar bin Lebai Mat dengan membawa banyak
perubahan dan pencapaian sehingga ke peringkat kebangsaan. Beliau kemudian berpindah ke Maktab Perguruan
Islam Bangi pada tahun 1993. Sekolah
menerima Pengetua baru, Tuan Haji Abdul Rahman Bin Halim pada Disember 1994 . Setahun kemudian beliau digantikan pula oleh
Tuan Haji Paiman Bin Jemo. Pucuk
pimpinan beralih tangan sekali lagi dengan terlantiknya Tuan Haji Mat Yunoh Bin
Haji Dolah sebagai pengetua pada tahun 1998.
SMAP terus mengorak kejayaan sebagai sebuah sekolah berasrama penuh yang
digeruni ketika itu dengan menempa nama dalam pelbagai bidang.
Tuan Haji Abdullah Bin Endut menggantikan
pengetua yang bersara pada tahun 2004 yang merupakan Penolong Kanan Akademik
ketika itu. Selepas bertukar, SMAP
diterajui pula oleh Pengetua Cemerlang JUSA C, Puan Hajah Khuzaimah Bt Haji
Sulaiman yang juga merupakan pengetua perempuan yang pertama pada tahun 2005
sehingga 13 Mac 2007. SMAP Labu di bawah pimpinan Pengetua Cemerlang terus
berusaha mengembalikan kegemilangan SMAP.
Pada April 2007, Puan Hajah Radziah binti Abdul
Samad dilantik sebagai pengetua ke-11. Beliau terus melestarikan usaha kegemilangan
dan SMAP Labu terus mencatat sejarah apabila menghasilkan pelajar terbaik SPM
2009 peringkat kebangsaan iaitu Khadijah binti Ahmad Jais yang memperolehi
pencapaian 11 A+. Seterusnya pada tahun 2011 SMAP Labu telah dinobatkan
anugerah berganda iaitu pada April 2011 menerima Anugerah Sekolah Kluster
Kecemerlangan dan kemudian pada Mei 2011 menerima Anugerah Sekolah Berprestasi
Tinggi. Pada tahun 2011 juga SMAP Labu telah berjaya mencatat rekod terbaik
pencapaian SPM iaitu memperolehi Gred Purata Sekolah 1.45 dan menghasilkan 3
pelajar 11 A+ dan 49 pelajar semua A.
Hasil daripada keputusan yang cemerlang ini, pada tahun 2012 SMAP Labu
telah menerima Anugerah Tawaran Baru Pengetua (BAI’AH) Kementerian Pelajaran
Malaysia. Pada tahun 2013 juga SMAP Labu sekali lagi menerima Anugerah Tawaran
Baru Pengetua (BAI’AH).